Negeri

Persiapan tangani banjir dimulakan sejak awal tahun – Exco Johor

Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM78 juta sebagai langkah persediaan menghadapi banjir yang kebiasaan melanda negeri itu pada akhir dan awal tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival UDA 2023 di Angsana Johor Bahru Mall pada Sabtu berkata, peruntukan itu bertujuan melaksanakan kerja penambahbaikan infrastruktur di 100 lokasi panas banjir di seluruh negeri.

Ia merupakan antara usaha pencegahan banjir bagi tempoh jangka masa pendek dan panjang dilaksana kerajaan negeri.

“Langkah itu termasuklah menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur seperti kawasan longkang, sungai, termasuk kolam takungan.

“Ikut laporan kita, kesemua kerja naik taraf ini selesai dalam tempoh tiga atau empat bulan, namun ada yang mengambil masa lebih lama,” katanya kepada pemberita.

Beliau turut memaklumkan, kerja pembersihan dan pembaikan kawasan longkang, sungai termasuk kolam-kolam takungan dikawasan berisiko telah dimulakan sejak awal tahun lagi.

Untuk rekod, Johor Bahru dikenal pasti sebagai daerah dengan hotspot banjir terbanyak melibatkan 19 lokasi.

Related Articles

Back to top button