Semasa

KKDW bantu KPKM cari tapak sesuai projek estet padi

Beberapa kawasan di Kota Belud, Sabah dan Sri Aman, Sarawak sedang dinilai kesesuaiannya untuk dibangunkan projek tanaman padi.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang, berkata sebelum itu pihaknya melalui FELCRA Berhad telah mengenal pasti dua lokasi berkenaan di Sabah dan Sarawak dalam usaha memperkasa jaminan makanan negara.

Ia berikutan keprihatinan pihak KKDW terhadap isu kekurangan beras tempatan sekali gus dapat membantu serta menyokong Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi mengeluarkan lebih banyak hasil makanan.

“Memang kita prihatin dengan suasana sekarang khasnya kekurangan beras tempatan dalam pasaran yang kita dah cakap lama mengenai hal ini.

” Bahkan, awal tahun ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menekankan mengenai peningkatan ‘food security’ untuk negara dan galakkan KPKM dan kementerian lain untuk bekerjasama dalam memastikan pengeluaran makanan dapat ditingkatkan.

“KKDW melalui agensi kita sudah kenal pasti dua negeri iaitu sabah di Kota Belud dan Sarawak di Stumbin, Sri Aman untuk bangunkan kawasan tanaman padi masing-masing melebihi 5,000 hektar yang sekarang di peringkat penilaian tanah dan mengenal pasti pengusaha tanaman (pesawah),” katanya dipetik.

Terdahulu beliau meluangkan masa hampir dua jam bagi melawat Taman Agro Teknologi Pertanian Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Ara Kuda, di Pulau Pinang pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Rubiah berkata, selain penanaman padi agensi di bawah KKDW sebelum itu sudah mengusahakan banyak projek tanaman lain antaranya kelapa dan pelbagai jenis sayur-sayuran.

“Projek ini memfokuskan pembangunan luar bandar dengan pembabitan pelbagai agensi KKDW antaranya Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan PERDA,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan usaha kerajaan untuk membangunkan estet padi berskala besar di Sabah dan Sarawak membabitkan kawasan Parlimen Kota Belud dan Kota Marudu di Sabah serta Parlimen Sri Aman di Sarawak dengan keluasan sekitar 15,000 hingga 20,000 hektar.

Ia bagi memastikan negara boleh membekalkan keperluan makanan ruji itu untuk rakyat tempatan tanpa perlu banyak bergantung kepada bekalan import.

Related Articles

Back to top button