PM Anwar mahu aktiviti seni, budaya diperkasa seiring kemajuan ekonomi
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu aktiviti seni dan budaya di Malaysia diperkasakan seiring kemajuan ekonomi, dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memainkan peranan penting untuk memartabatkan aktiviti berkenaan.
“Sebab itu penting peranan MOTAC dan program yang boleh memartabatkan aktiviti seni, lukisan, puisi, filem dan teater, pementasan serta tarian.
“Tak banyak negara di dunia boleh pamerkan seni budaya dengan Melayu sebagai terasnya, suku kaum yang lain dari Perlis sampai Sabah,” katanya ketika merasmikan Festival Budaya Putrajaya 2023 di Putrajaya, malam tadi.
Anwar berkata, masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu menjadikan perbezaan sebagai kekuatan bukannya menjadikan ia sebagai faktor persengketaan.
“Saya percaya rakyat waras yang cintakan negara menghormati nilai kemanusiaan… mereka akan melihat perbezaan kaum, suku kaum dan budaya sebagai kekuatan kerana kepelbagaian membina kehebatan Malaysia tercinta,” katanya.
Menyifatkan sektor pelancongan sebagai bidang yang menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi tumpuan khusus daripada segi peruntukan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini.
Pada masa yang sama, Anwar mencadangkan agar Festival Budaya@Putrajaya 2023 yang diadakan buat julung kali di Dataran Putrajaya dimasukkan dalam kalendar MOTAC sebagai acara tahunan negara.
“Oleh kerana saya lihat (persembahan) hebat malam ini, mungkin saya akan cadangkan supaya acara Festival Budaya Putrajaya ini dijadikan acara tahunan di Putrajaya,” ujarnya.