Semasa

Skandal J-Qaf : SPRM terima lebih banyak bukti baharu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah menerima pelbagai bukti baharu berhubung siasatan rasuah ke atas satu projek Kementerian Pendidikan berkaitan rundingan terus percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata setakat ini pegawai penyiasat masih aktif menyiasat kes membabitkan lebih RM80 juta.

“SPRM menerima banyak bukti baharu dalam masa terdekat ini yang boleh membantu siasatan,” katanya dalam satu program bersama media di Kajang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya sebelum ini mengesahkan penahanan dua individu, termasuk bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri pendidikan, Datuk Radzi Jidin.

Ekoran itu, Azam turut mengesahkan bekas Menteri Pendidikan itu bakal dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan.

Sementara itu tambahnya, sempena sambutan ulang tahun ke-56, SPRM harus bergerak lebih pantas dalam menangani isu rasuah yang berimpak tinggi.

Justeru pihaknya akan memfokuskan kes-kes berprofil tinggi yang mengakibatkan kehilangan dana rakyat sebagai misi dan visi utama agensi itu pada masa hadapan.

“Antara strategi itu adalah mengurangkan ketirisan wang rakyat, memfokuskan kehilangan dana dan wang negara dalam kes-kes yang besar,” katanya

Related Articles

Back to top button