Tiada keperluan untuk pemimpin PN persoal profesionalisme polis – TPM
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan diingatkan bahawa tiada keperluan mempersoal profesionalisme polis yang menjalankan tugas sepanjang kempen PRK Pelangai.
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dalam satu sidang media di Bentong pada Sabtu turut menyelar tindakan Takiyuddin yang dakwanya “akan menggunakan apa sahaja untuk menimbulkan kekeliruan”.
“Saya kenal beliau secara peribadi dan beliau akan menggunakan apa sahaja, bukan hanya untuk menimbulkan situasi bagi menyerang, tapi mewujudkan kekeliruan.
“Polis sangat profesional, mereka cuma memantau mana-mana parti politik atau calon yang melakukan kempen. Jangan persoalkan profesionalisme yang dilakukan agensi penguatkuasaan terutamanya oleh PDRM,” katanya bekas Menteri Dalam Negeri itu.
Takiyuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kota Baharu baru-baru ini berkata, ‘kehadiran luar biasa’ pihak berkuasa di ceramah Perikatan Nasional (PN) menimbulkan keresahan dalam penyokong parti itu.
Beliau mendakwa, kehadiran kereta peronda terlalu kerap di markas operasi terutamanya milik Perikatan Nasional (PN) dengan alasan mendapatkan maklumat kekuatan petugas dan gerak kerja sedangkan ia tiada kaitan dengan agensi itu.
Bagaimanapun, calon PN, Kasim Samat dilapor berkata, secara peribadi, kehadiran pihak berkuasa tidak memberi kesan kepadanya, namun tidak menolak terdapat laporan daripada jentera kempen yang ‘terganggu’ dengan situasi tersebut.
Turut bertanding pada PRK Pelangai 7 Okt adalah calon Barisan Nasional Amizar Abu Adam dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.