Mahkamah

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Tun M minta PM Anwar kemuka dokumen

Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, menolak permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan dokumen, dalam kes saman fitnah bekas Perdana Menteri itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zaharah Hussain menolak permohonan tersebut dalam saman fitnah RM150 juta yang difailkan oleh Mahathir terhadap Anwar.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili bekas Ahli Parlimen Langkawi berkata, permohonan Tun Mahathir bagi penzahiran dokumen berkenaan telah ditolak dengan kos sebanyak RM2,000.

Beliau berkata, mahkamah menyatakan alasan penolakan itu adalah berdasarkan isu dalam pembelaan terpinda, Anwar selaku defendan, mengenai suatu acara atau peristiwa yang berlaku pada masa yang lalu tetapi tanpa dinyatakan sesuatu dokumen.

Bagaimanapun beliau berkata, mahkamah mengambil kira sekiranya terdapat dokumen berkenaan, ia akan menjadi pembelaan (Anwar) dan perlu dikemukakan ketika pengurusan kes di peringkat praperbicaraan.

“Beban masih pada defendan untuk kemukakannya (dokumen),” katanya ketika dihubungi pemberita.

Dalam prosiding berkenaan, peguam, Aliff Benjamin Suhaimi bertindak bagi pihak Anwar.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 November depan untuk pengurusan kes, bagi kedua-dua pihak memberi makluman mengenai permohonan interlokutori lain.

Dalam dokumen yang difailkan pada 3 Mei lalu, Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Perlaksanaan Sebuah Idealisme’ pada 18 Mac lalu.

Dalam pada itu, Anwar yang merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam penyataan pembelaan, 14 Jun lalu mendakwa, saman oleh Mahathir adalah bagi melemahkan kredibilitinya selaku Perdana Menteri, selain mewujudkan perpecahan kaum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Anwar berkata, berdasarkan Sijil Perakuan Segera yang difailkan plaintif, ia menyatakan tindakan saman mesti dilupuskan dengan segera, kerana enam negeri akan membubarkan sidang DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu pemberian kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn Bhd yang mana anak ketiga Dr Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz adalah pengarah syarikat tersebut pada 30 Mac 1994 hingga 14 Oktober 2009.

Related Articles

Back to top button