Global

Malaysia kutuk insiden pengeboman bunuh diri di Ankara – Wisma Putra

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden pengeboman bunuh diri di Ankara, Turkiye yang mencederakan dua anggota polis, semalam.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan hari ini mengesahkan tiada laporan mana-mana rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden tersebut dan berdiri teguh menyatakan solidariti bersama Kerajaan Turkiye serta komuniti antarabangsa dalam menolak segala tindakan keganasan yang bertujuan mengganggu proses politik yang sah.

“Kedutaan Malaysia di Ankara sedang memantau perkembangan dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya dilaporkan berkata, dua pengganas dalam sebuah kereta melakukan letupan itu di hadapan pintu masuk Direktorat Keselamatan Am Kementerian Dalam Negeri di daerah Kizilay di tengah Ankara pada jam 9.30 pagi waktu tempatan semalam.

“Seorang daripadanya meletupkan diri sendiri, manakala yang kedua berjaya ditahan. Dua pegawai polis cedera ringan dalam pertempuran dengan pengganas,” katanya.

Mengulas lanjut, Wisma Putra meminta rakyat Malaysia yang kini berada di Turkiye untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mematuhi nasihat perjalanan daripada pihak berkuasa tempatan.

Untuk sebarang bantuan, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara boleh dihubungi melalui talian +(90) 312 4463547/ 48 atau +(90) 5078128406) bagi talian mudah alih atau e-mel [email protected].

Sementara itu, Konsulat Jeneral di Istanbul boleh dihubungi melalui talian +(90) 212 9891001 atau e-mel [email protected].

Related Articles

Back to top button