Semasa

Minyak masak subsidi : KPDN rancang guna kaedah pembelian dengan ID khas

Kaedah pembelian minyak masak peket kepada kumpulan sasar akan menggunakan mekanisme pengenalan diri (ID) selain disahkan layak.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, mekanisme itu yang dirancang dilaksana mulai tahun hadapan lebih sesuai berbanding menggunakan kad pengenalan atau aplikasi MySejahtera.

“Ramai yang bertanya mengapa tidak gunakan IC atau MySejahtera? ini kerana keperluan dua kumpulan (keluarga dan peniaga mikro) tidak sama.

“Jika kita hadkan pembelian kepada 3 atau 5 kilogram, peniaga akan bermasalah. Selain itu golongan T20 tidak layak terima subsidi minyak peket. Maka perlu kepada ID yang berbeza,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Fuziah pada Julai lalu menyatakan akan melaksanakan kaedah pembelian minyak masak paket kepada kumpulan sasar mulai tahun depan dan seramai 5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 sudah dikenal pasti dan layak berada dalam kumpulan itu.

Beliau berkata, kementerian juga akan menambah lagi kira-kira satu juta (pengguna) dalam kalangan usahawan mikro yang memerlukannya (minyak masak paket).

Menurut Fuziah, ketika ini minyak masak peket berada pasaran terbuka dan mahu ia dinikmati oleh kumpulan yang memerlukan selain tidak berlaku penjualan kepada pihak yang tidak sepatutnya.

“Pada ketika ini kerajaan keluarkan 60 juta peket minyak masak bersubsidi setiap bulan, akan tetapi aduan diterima ialah ia tidak boleh didapati di pasaran dan selalu habis,” jelas beliau.

Related Articles

Back to top button