Semasa

Mohammad Sabu jadi mangsa fitnah di media sosial

Presiden Parti Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menjadi mangsa fitnah terbaharu di media sosial.

Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Ahad menafikan poster tular yang memetik Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan pembelian beras dengan masalah kegemukan.

Sehubungan itu, pihak KPKM menggesa orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan penularan poster fitnah tersebut.

KPKM juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung perkara tersebut untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak SKMM telah dilaporkan berhubung perkara ini untuk tindakan selanjutnya.

“Orang ramai adalah dinasihatkan supaya menyemak dahulu kesahihan semua kandungan yang diviralkan supaya tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang sengaja direka,” kata kementerian dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, poster yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab itu seolah-olah memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamad.

“Beli beras ikut keperluan, jangan makan terlalu banyak, boleh menggemukkan badan,” kata poster yang dianggap sengaja membangkitkan kemarahan rakyat itu.

Sebagai rekod, Mohamad Sabu sebelum ini membuat saranan supaya rakyat tidak membeli beras melebihi jumlah diperlukan, langkah itu bagi memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan pengguna tidak mengalami kerugian kerana menyimpan stok beras sehingga akhirnya dimakan bubuk.

Related Articles

Back to top button