Pilihanraya

Pas sepatutnya berterima kasih kepada polis, tegas calon BN

Pemimpin Pas sewajarnya berterima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hadir pada program ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, bukan mengkritik tindakan itu.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK itu, Datuk Amizar Abu Adam berkata, ia kerana pihak berkuasa itu hadir bagi menjalankan tugas menjaga keselamatan.

“Ini (kehadiran luar biasa polis) perkara biasa. Polis pun orang juga dan bertanggungjawab menjaga keselamatan negara.

“Kita perlu ucap terima kasih bukan menyanggah mereka.

“BN tak ada masalah… kita alu-alukan saja pihak berkuasa,” katanya Amizar selepas menghadiri Program Sembang Santai Ukhuwah di Felda Chemomoi.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini mempersoal kehadiran polis pada program ceramah terutama diadakan partinya.

Selain mendakwa ia menggusarkan penyokong Pas, Ahli Parlimen Kota Baharu itu mendakwa ia memberi gambaran tidak sihat kepada amalan demokrasi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai reaksinya kepada kenyataan Takiyuddin memberi peringatan kepada pembangkang agar tidak mempersoalkan profesionalisme pihak berkuasa.

Beliau yang pernah memegang portfolio Menteri Dalam Negeri berkata, dakwaan yang dibangkitkan Takiyuddin boleh menimbulkan kekeliruan sedangkan pihak polis hanya menjalankan tugas sepanjang berlangsungnya kempen di PRK Pelangai.

“Saya kenal beliau secara peribadi (Takiyuddin) dan beliau akan menggunakan apa sahaja, bukan hanya untuk menimbulkan situasi bagi menyerang, tapi mewujudkan kekeliruan,” kata Ahmad Zahid.

Related Articles

Back to top button