Semasa

PM Anwar beri sedikit gambaran tentang Belanjawan 2024

Perdana Menteri memberi sedikit gambaran mengenai apa yang akan diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mendedahkan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mendapat peruntukan terbesar Bajet 2024.

Pada ucapannya ketika pelancaran skim perubatan Madani dan program Madani Afiat di Ipoh pada Ahad, beliau mendedahkan antara isu yang akan difokuskan dalam Belanjawan Madani kedua itu bagi KKM ialah pembinaan klinik kesihatan dan mengatasi masalah kesesakan hospital kerajaan di seluruh negara.

“Dalam Belanjawan Madani, isu kesihatan dan pendidikan kita akan terus utamakan. Fokus utama ialah kemudahan kesihatan termasuk rumah sakit.

“Ada yang kata sejak Anwar jadi PM, kebanyakan hospital sesak, sesak ini dah lama berlaku, jadi kita akan uruskan dengan baik,” jelasnya.

Belanjawan 2024 dijangkan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 13 Okt ini.

Melalui Belanjawan persekutuan 2023 yang dibentangkan Anwar pada 24 Feb lalu, KKM diperuntukkan RM36.3 bilion, termasuk hampir RM3 bilion bagi pelantikan lebih 1,500 kakitangan kesihatan tetap dan kontrak. Manakala KPM menerima RM55.2 bilion.

Sementara itu, Anwar ketika menyentuh mengenai rasionalisasi subsidi menjelaskan, ia perlu disusun supaya bantuan subsidi kerajaan dimanfaatkan golongan benar-benar memerlukan. Ini katanya termasuk caj rawatan hospital kerajaan.

“Kena kaji, kalau nak terus bagi subsidi, yang 10% (golongan berpendapatan tinggi) kita tak perlu bagi subsidi, macam hospital, caj rendah, percuma pun ada, tapi kita bagi pada semua, salah kah golongan paling kaya kita kenakan bayaran lebih tinggi,” katanya.

Related Articles

Back to top button