ekonomi

PM mahu syarikat kepentingan Bumiputera diurus dengan cekap, tidak tersasar matlamat

Syarikat khususnya yang berkaitan dengan kepentingan Bumiputera diingatkan agar tidak tersasar daripada matlamat asal untuk menyelamatkan golongan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena pelancaran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 di Bertam Pulau Pinang semalam turut meminta syarikat-syarikat terbabit tidak mengambil jalan mudah dengan menjual aset mereka semata-mata demi menyelamatkan syarikat.

“Apa pun berlaku, saya minta pengurusan semasa syarikat seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) atau Khazanah – yang menjalankan tugas dengan baik – serta syarikat Persekutuan dan negeri, supaya ingat bahawa yang pertama sekali pengurusan mestilah sangat cekap.

“Kedua, dalam apa jua keputusan yang dibuat, mereka tidak boleh dengan mudah melepaskan ekuiti dan kepentingan asal mereka untuk melindungi dan mengawal kepentingan syarikat yang mementingkan kepentingan Bumiputera,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mendedahkan, sebaik kembali ke dalam kerajaan, ada sebahagian syarikat berkaitan Bumiputra didapati berdepan isu tadbir urus lemah sehingga membawa kepada pembaziran, selain kelemahan pengurusan yang dianggap tidak bijak dan tidak munasabah.

Malah ada antaranya dianggap tersasar dari matlamat asal penubuhannya .

Mengulas lanjut, Anwar berkata, setiap pengurusan syarikat perlu mempunyai anjakan dan dipertanggungjawabkan akan tugas asas mereka supaya kelemahan sama tidak berulang pada masa hadapan.

“Kalau kita tidak beralih, sampai bila (hingga) berpuluh tahun balik ke pangkal…tubuh syarikat (dan) salah urus tadbir (kemudian) rugi (hingga) kerajaan terpaksa bantu, ada desakan baru (dan) bantu lagi…kemudian tubuh lagi syarikat baharu dan selepas itu kita ikut jalur sama yang tiada penghujung,” katanya.

Related Articles

Back to top button