ekonomi

PM seru pupuk kesedaran menabung sejak peringkat sekolah

Kesedaran mengenai kepentingan menabung atau penglibatan dalam saham wajar dimulakan daripada peringkat sekolah, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, susulan itu satu perbincangan akan diadakan antara Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperluas usaha itu.

“Oleh demikian, saya bagi jaminan pada pengerusi (PNB) untuk adakan satu perbincangan dengan KPM dan KPT untuk memperluaskan mengenai kesedaran menabung dan penglibatan dalam saham ini di sekolah-sekolah.

“Kita pilih guru, latih mereka dan berikan latihan daripada PNB sendiri untuk memberikan pencerahan dan tanggungjawab kesedaran tambahan di peringkat sekolah, iaitu literasi saham serta pendedahan awal mengenainya,” ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 di Kepala Batas pada Ahad.

Turut hadir pada acara bertemakan Bijak Melabur, Santai Berhibur itu adalah Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang serta orang kenamaan lain.

MSAM 2023 yang bermula pada 30 September hingga 8 Oktober ini memberi fokus kepada elemen STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik yang diterapkan dalam kandungan dan ruang pameran.

Program selama sembilan hari itu menampilkan gerai-gerai rakan korporat, syarikat strategik dan teras terpilih, membolehkan pengunjung memahami bagaimana hasil pelaburan dalam syarikat-syariat ini diperoleh dan diedarkan kepada pemegang unit dalam bentuk pengagihan pendapatan.

MSAM 2023 menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai kira-kira 50 pempamer, terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, bank, badan kawal selia, dan agensi kerajaan negeri.

Sementara itu jelas Anwar turut menggesa guru di sekolah-sekolah supaya memanfaatkan MSAM sebagai kegiatan yang didukung sepenuhnya oleh pihak sekolah.

Related Articles

Back to top button