Semasa

Kehadiran polis di program ceramah untuk pastikan keselamatan – Menteri KDN

Kehadiran pihak polis dalam pelbagai aktiviti kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai adalah bagi memantau keselamatan dan ketenteraman awam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata begitu sebagai menjawab isu dibangkitkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kehadiran luar biasa pihak berkuasa pada aktiviti kempen dianjurkan parti itu yang menurutnya menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokongnya.

“Keberadaan polis dalam bentuk omnipresent adalah penting untuk menilai sesuatu keadaan.

“PDRM turut memantau tiada individu membangkitkan isu sensitif dan mengapi-apikan semangat sehingga membangkitkan isu perpaduan dan ketenteraman rakyat,” katanya Saifuddin dalam sidang media selepas menghadiri program Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani, di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur pada Ahad.

Sementara itu Saifuddin membidas dakwaan Takiyuddin kononnya kehadiran polis memberi gambaran tidak sihat kepada amalan demokrasi negara.

Beliau menegaskan pihak polis bersikap profesional dan orang ramai tidak perlu risau dengan kehadiran pihak berkuasa.

“Orang ramai tidak perlu bimbang dan perlu patuh pada undang-undang sepanjang tempoh berkempen di DUN Pelangai.

“Paling penting adalah peluang setiap parti mendekati rakyat yang merupakan pengundi di kawasan itu tidak terhalang, tugas polis adalah menjaga keselamatan,” katanya.

Terdahulu, seorang bekas Timbalan Menteri turut menempelak Takityuddin yang mempersoal tindakan polis menjalankan pemantauan mereka.

Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendakwa, kenyataan dan tindak-tanduk pemimpin Pas sendiri seolah-olah membuatkan polis ‘terpaksa’ hadir di kawasan berkenaan bagi menjaga ketenteraman awam.

Sebagai rekod, seorang Menteri Besar dari Pas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pernah mencetus rasa marah rakyat Selangor apabila membuat kenyataan dianggap mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar Selangor.

Pengarah Pilihan Raya PN itu kemudian didakwa di Mahkamah atas tuduhan melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja dan sebutan semula kes tersebut telah ditetapkan 4 Oktober ini.

Related Articles

Back to top button