Semasa

Qazaf termasuk dalam jenayah hudud, jangan sampai jadi fasik

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengingatkan bahawa dosa melakukan qazaf tanpa saksi empat mata merupakan dosa besar dan masuk dalam kategori jenayah hudud Islam.

Melalui satu hantaran di Facebook beliau berkata, hukuman bagi pelaku hukuman qazaf tanpa menghadirkan saksi adalah sebatan rotan sebanyak 40 kali selain tidak diterima kesaksian dan dihukum sebagai seorang yang fasik dalam Islam.

Justeru beliau berkata, dosa itu tidak wajar dijadikan bahan lawak jenaka atau permainan politik sehingga dianggap sebagai perkara normal dalam kehidupan seharian.

“Hukuman tersebut jelas dinyatakan dalam surah al-Nur ayat ke-4.

“Qazaf tidak wajar dinormalisasikan atas nama perbezaan politik kepartian. Para asatizah secara beramai-ramai perlu menegur normalisasi dosa ini agar umat Islam terselamat daripada bala bencana.

“Sangat malang apabila semakin ditegur semakin galak sebilangan ahli politik membuat rakaman video membuat tuduhan qazaf,” katanya pada Ahad.

Isu qazaf kembali menjadi perhatian ramai susulan tindakan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin melontar tuduhan qazaf terhadap perdana menteri ketika bertikam lidah di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Susulan itu Khairuddin yang merupakan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas kemudian menggesa Mohd Radzi supaya segera bertaubat.

Bagaimanapun tuduhan berat itu terus dimainkan pihak tidak bertanggungjawab termasuk melalui satu klip video di media sosial memaparkan tujuh lelaki dalam keadaan bergelak ketawa dengan kapsyen yang turut mengulangi tuduhan qazaf terhadap perdana menteri.

Related Articles

Back to top button