Nasional

Semua sekolah diminta patuhi garis panduan situasi jerebu – Fadhlina

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengekalkan garis panduan yang ditetapkan dalam usaha menangani situasi jerebu yang melanda negara ketika ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, semua sekolah di seluruh negara diminta mematuhi garis panduan berkenaan.

Katanya, jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, tiada sebarang aktiviti luar dilaksanakan di sekolah.

“Kita memang ada garis panduan dan kekal dengan garis panduan itu, kita minta semua sekolah mematuhinya.

“Jika IPU lebih 100, tiada aktiviti luar boleh dilaksanakan dan perlu mengikut garis panduan itu sebagai mana yang kita tegaskan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya ketika diminta mengulas situasi jerebu yang melanda negara ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penutup Perasmian Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) KPM Peringkat Kebangsaan 2023 di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di Kuantan, hari ini.

Ditanya kemungkinan sekolah akan ditutup jika bacaan IPU meningkat, Fadhlina berkata, keputusan itu bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.

“Ia bergantung kepada cadangan atau nasihat sama ada menutup sekolah, memakai pelitup muka atau sebagainya,” katanya.

Pagi hari ini, tiga stesen di Cheras, Nilai dan Shah Alam mencatatkan IPU tidak sihat apabila merekodkan bacaan melebihi 150.

Berdasarkan kemas kini terbaharu di laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) pada 8 pagi itu, stesen yang mencatatkan IPU terburuk adalah di Cheras, Kuala Lumpur yang merekodkan bacaan 164.

Related Articles

Back to top button