Negeri

Bakal ada berita baik dari UAE untuk Pahang – PM Anwar

Perdana Menteri bakal mengumumkan berita baik berhubung lawatan kerjanya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) .

Berucap pada program Ceramah Mega Perpaduan Madani di Simpang Pelangai malam tadi, Datuk Seri Anwar berkata, berita gembira bukan sahaja untuk Malaysia, bahkan khusus untuk negeri Pahang dan akan diumumkan pada Khamis.

“Mudah-mudahan Insya-Allah, kita akan beri pengumuman yang penting bukan sahaja untuk Malaysia tapi untuk negeri Pahang.

“Saya tak beritahu Wan Rosdy (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) sebab nak buat kejutan untuk dia, tapi syaratnya menang (Pilihan Raya Kecil) Pelangai dulu.

“Kita akan umumkan satu berita yang sangat baik untuk negeri Pahang daripada UAE,” katanya.

Anwar dijadualkan melakukan lawatan kerja ke UAE pada 5 Oktober ini untuk lawatan kerja, sebelum hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dihoskan Arab Saudi di Riyadh pada 16 Okt.

Tanpa mengulas lanjut mengenai berita baik itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, berita baik yang dinantikan itu adalah hasil kerja keras pasukan jemaah menteri dalam Kerajaan Perpaduan selain faktor keyakinan pihak UAE terhadap kestabilan politik di Malaysia.

“Dia yakin sebab politik kita stabil. BN-PH bersama dengan GPS dan GRS dengan saling mempercayai,” katanya.

Bulan lalu, semasa di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, Anwar menegaskan hubungan dua hala dan ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan UAE terus berkembang, dengan perdagangan dan pelaburan yang semakin meningkat.

Menteri Perdagangan UAE, Thani Al Zeyoudi semasa lawatan ke Malaysia Mei lalu berkata, pelaburan Malaysia di UAE berjumlah AS$150 juta, dan pelaburan UAE di Malaysia mencecah AS$220 juta.

Related Articles

Back to top button