Semasa

Kerajaan Perpaduan komited beri yang terbaik untuk warga peneroka

Kerajaan Perpaduan akan terus memperkasa dan memberi perhatian yang terbaik untuk Felda dan warga peneroka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahimberkata, isu diutarakan golongan itu termasuk permasalahan infrastruktur seperti lampu jalan, akses internet, klinik desa dan pusat dialisis, sedaya upaya akan diselesaikan dengan segera.

Berucap pada Karnival Segalanya Felda di Dataran Niaga Felda Chemomoi di Pahang pada Isnin, beliau turut menjelaskan arahan telah diberikan supaya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dapat membantu mempermudah dan mempercepat proses mengatasi permasalahan di kawasan tanah rancangan itu.

“Saya suruh juga menteri-menteri untuk sama (kerja). Menteri Pendidikan, Menteri Kesihatan…semua kena diselaraskan supaya dalam masa setahun dua ini, kita beri perhatian lebih baik dan terbaik pernah kita lakukan.

“Ini iltizam saya. Saya hendak kementerian-kementerian terlibat dan saya sebut ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Turut hadir pada acara itu adalah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Sulong Jamil Mohamad Shariff dan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Datuk Amizar Abu Adam.

Sementara itu Perdana Menteri turut memberi komitmen untuk terus menyokong usaha Kerajaan Pahang membantu golongan peneroka Felda.

“Pahang mempunyai kawasan Felda terbesar dan Menteri Besarnya adalah contoh yang menjalankan kerja, bukan hanya berjanji. Banyak yang telah dilaksanakan termasuk rumah generasi kedua kerana tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan kita (kerajaan Persekutuan) akan tambah semangat untuk bantu.

“Tetapi politik kena stabil supaya pelaburan datang dan rakyat mesti sambut apa yang kita lakukan. Kalau mahu menegur, mengkritik atau mencadang, kita boleh terima, tapi jangan maki hamun, maki, cerca atau berbalah, tak perlu begitu,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button