Umum

Kes denggi dijangka melonjak naik hujung tahun 2023 – KKM

Kes demam denggi dijangka naik mendadak mulai hujung tahun ini berdasarkan trend kes sejak 10 tahun lepas, menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Wan Ming Keong.

Katanya, corak ini dilihat berada di kemuncak setiap empat atau lima tahun dan dipercayai disebabkan oleh perubahan stereotaip yang dominan di sesuatu kawasan.

“Kemuncak terakhir yang dilaporkan ialah pada 2019. Sebab itu kita jangka hujung tahun ini atau pada tahun depan kes akan ke kemuncak lagi. Salah satu faktor penyumbang ialah perubahan stereotaip virus.

“Denggi ada empat serotaip (DENV-1 hingga DENV-4). Setiap kali serotaip yang dominan di sesuatu kawasan bertukar ke serotaip lain, kes akan meningkat kerana sistem imun penduduk setempat terhadap serotaip baru masih rendah, menyebabkan mereka senang dijangkiti,” beliau menerangkan kepada Bernama dalam satu temu bual.

Walau bagaimanapun, pesakit yang sembuh daripada setiap serotaip akan mendapat perlindungan seumur hidup bagi serotaip tersebut. Ini menyebabkan jumlah maksimum seseorang boleh dijangkiti denggi sepanjang hidupnya hanya empat kali.

Namun katanya, pesakit yang terkena jangkitan denggi buat kali kedua akan mengalami komplikasi lebih serius.

Menurutnya lagi, pada tahun lepas tiada perubahan serotaip daripada DENV-3 ke DENV-4 dilaporkan tetapi situasi itu telah berubah pada tahun ini.

“Apa yang kita perhatikan pada tahun ini ialah DENV-4 dah ubah kepada DENV-2. Selagi ada pertukaran dominan, kes akan berterusan dan meningkat,” kata Dr Wan yang berkhidmat di Bahagian Kawalan Penyakit KKM.

Katanya, punca lain kes denggi meningkat ialah kerana hanya satu dalam empat pesakit denggi bergejala manakala pesakit lain tidak mempunyai gejala.

“Bagi yang tidak bergejala ini, mereka tidak akan mendapatkan rawatan kerana tidak tahu mereka sudah dijangkiti.

“Jadi bila mereka bergerak ke kawasan baru, nyamuk yang tidak membawa virus itu akan menghisap darah pesakit yang sudah dijangkit denggi tersebut.

“Seterusnya virus yang dihisap akan menular di kawasan baru apabila nyamuk Aedes menggigit mangsa lain,” jelasnya.

Kumulatif kes yang dilaporkan dari minggu epidemiologi ke-36 adalah sebanyak 82,485 kes. Ini peningkatan sebanyak 43,297 kes atau 110 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Related Articles

Back to top button