ekonomi

Sektor baharu strategik diperkukuh sebagai asas ekonomi

Kerajaan bakal membina asas ekonomi baharu yang kukuh sebagai strategi mendepani kelembapan ekonomi dan ketidaktentuan nilai mata wang global, kata Menteri Ekonomi.

Rafizi Ramli dipetik program Agenda AWANI pada Isnin berkata visi yang jelas ini memberi keyakinan kepada pelabur mengenai keupayaan Malaysia kekal berdaya saing meskipun dalam suasana ekonomi yang mencabar.

“Sebab itu kita ambil kira mengenai keperluan untuk memberi tumpuan kepada lima sektor strategik baharu, supaya dalam keadaan yang tidak menentu ini sekalipun kita terus menambah pelaburan-pelaburan untuk tambah kapasiti dalam sektor-sektor ini.

“Ini kerana, dalam satu atau dua tahun lagi ekonomi dunia akan kembali pulih. Apabila ekonomi dunia pulih, Malaysia akan mendapat laba. Itu tujuan perancangan-perancangan seperti Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12),” katanya Naib Presiden KEADILAN itu.

Mengulas lanjut Rafizi berkata, semua pihak harus menerima hakikat bahawa dunia ketika ini berdepan dengan kelembapan ekonomi yang antara lain terkait dengan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, peningkatan harga barangan serta tenaga pada skala yang meluas.

Namun, beliau berpegang kepada prinsip kitaran ekonomi yang akan melalui fasa naik turun, dan kelembapan yang dihadapi ketika ini juga akan kembali melonjak dalam masa sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

Related Articles

Back to top button