Anwar

Kejelasan dasar amat penting untuk raih keyakinan pelabur asing dan domestik – PM Anwar

Kejelasan dasar dalam sesebuah negara amat penting untuk meraih keyakinan pelabur asing dan juga domestik kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melalui dasar yang jelas seperti Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan juga Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan mula beralih daripada pendekatan tradisional.

Kerajaan juga melakukan penyesuaian dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi negara ketika ini.

Anwar lebih optimis pada hasil yang bakal dicapai pada masa depan sekiranya kerajaan menguruskan ekonomi dengan dasar yang jelas.

“Kejelasan dasar ini penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing dan domestik kerana terdapat defisit kepercayaan secara umumnya.

“Ia disebabkan dasar sebelum ini memberi keuntungan kepada golongan elit sehingga menjejaskan rakyat,” katanya semasa menyampaikan ucapan penutup pada Forum Megatrends Khazanah (KMF) 2023, di Kuala Lumpur, semalam.

Forum berkenaan dianjurkan oleh sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd.

Dalam pada itu Anwar berkata, kabinet sentiasa berbincang dan bertindak secara konsisten dalam menangani isu yang timbul berkaitan perniagaan selain memastikan kerenah birokrasi dihapuskan.

“Dasar-dasar yang dibentuk berdasarkan kerangka Ekonomi Madani adalah untuk memudahkan urusniaga dan merobohkan dinding birokrasi.

“Saya berharap sektor korporat dapat memanfaatkan penambahbaikan tatakelola ini dengan merancakkan lagi ekonomi negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat,” katanya.

Related Articles

Back to top button