Keputusan kerajaan beri subsidi beras di Sabah dan S’wak disambut baik
Keputusan Kerajaan Persekutuan memberi subsidi RM950 bagi setiap tan beras putih import (BPI) di Sabah dan Sarawak merupakan satu berita baik.
Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan, berkata usah melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu sangat diharapkan pengguna di negeri Malaysia Timur terutama oleh golongan berpendapatan rendah
“Pemberian subsidi itu juga melegakan pengusaha makanan dalam usaha mengurangkan kos ditanggung mereka berikutan kenaikan harga BPI ketika ini.
“Sebagai pengguna, kita mengalu-alukan pengumuman Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberikan subsidi sebanyak RM950 satu tan beras kepada Sabah dan Sarawak bermula 5 Oktober ini.
“Ia tentunya berita baik kepada golongan B40 dan pengusaha makanan dalam usaha menurunkan kos sara hidup kerana beras adalah keperluan asas kepada setiap isi rumah,” katanya dipetik laporan Utusan Borneo
Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Isnin mengumumkan Perdana Menteri bersetuju memberi subsidi sebanyak RM950 setiap tan bagi bekalan BPI di Sabah dan Sarawak, mulai Khamis ini.
Menerusi pemberian subsidi itu, harga runcit BPI di kedua-dua negeri akan turun kepada RM31 bagi kampit 10 kilogram (kg).
Sementara itu, David turut menggesa orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi mengenai kekurangan bekalan beras di Sabah bagi mengelak pembelian panik.