Pilihanraya

Ketua Pas Kemaman tak wajar bertanding lagi lepas kemenangan dibatalkan – Ahmad Said

Ketua Pas Kawasan Kemaman tidak wajar bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan di Parlimen Kemaman.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan ini setelah mahkamah pilihanraya baru-baru ini membatalkan kemenangan Che Alias Hamid susulan dakwaan terdapat unsur-unsur rasuah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Mengulas keputusan Pas yang tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan pada 26 September lalu, Ahmad Said turut menyifatkan ia secara jelas membuktikan unsur rasuah membabitkan pemimpin Pas itu memang berlaku.

“Dia tak rayu sebab benda itu jelas terbukti,” kata Ketua Umno Terengganu itu dipetik laporan FMT.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merangkap Hakim Pilihan Raya, Anselm Charles Fernandis dalam keputusannya ketika itu membenarkan petisyen pilihan raya oleh calon BN Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Hakim Anselm Charles menerima dakwaan pempetisyen bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang telah diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada Che Alias.

Mahkamah mengarahkan kos RM30,000 untuk dibayar oleh Responden kepada Pempetisyen.

Sementara itu Ahmad Said ketika ditanyakan sama ada bersedia untuk bertanding di Parlimen itu berkata,”Umno Terengganu bersedia dan akan ikut apa ketetapan dibuat pucuk pimpinan sama ada bertanding atau sebaliknya,”

Related Articles

Back to top button