Semasa

KPKT selesai 256 projek perumahan terbengkalai setakat Ogos lalu

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus berusaha menyelesaikan isu perumahan terbengkalai.

Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir setakat Ogos lalu sebanyak 256 projek perumahan terbengkalai swasta berjaya dipulihkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM23.37 bilion.

Ada sebahagian projek yang diselesaikan itu turut sudah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) atau bertukar kepada status lancar.

“Mengikut kejayaan pada Ogos (sahaja), kita berjaya pulih dan lancarkan 34 projek perumahan iaitu 27 mendapat CCC manakala tujuh lagi berjalan kembali (dengan status) lancar,” katanya.

Akmal Nasrullah sebelumnya melancarkan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS) di Banting pada Selasa.

Susulan itu beliau berkata kementeriannya menerusi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai akan meneruskan tindakan menyelesaikan dan mencegah serta melaksanakan libat urus bersama pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal serta institusi kewangan swasta dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam.

Mengulas mengenai pelancaran HIMS yang beroperasi sejak tahun lalu, Akmal berkata ia merupakan satu sistem pengurusan setempat dalam talian yang membolehkan kementerian itu memantau data berkaitan maklumat projek perumahan yang dikemaskini.

Sistem itu jelasnya merupakan platform setempat bagi perkhidmatan pelesenan pemaju perumahan swasta serta permit iklan dan jualan, pengemaskinian status projek perumahan sehingga ke perkhidmatan perjanjian jual beli secara dalam talian (e-SPA).

“Dijangka pada suku pertama 2024, e-SPA yang dijana menerusi HIMS ini akan ditambah baik untuk membolehkan perkhidmatan tandatangan digital untuk pihak yang terlibat bawah perjanjian jual beli (rumah) dan seterusnya e-stamping menerusi kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya.

Related Articles

Back to top button