Semasa

KPM perlu masa, tambah baik perancangan tubuh sekolah untuk golongan miskin tegar

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengakui pihak Kementerian Pendidikan (KPM) memerlukan sedikit masa untuk melaksanakan sekolah model khas bagi golongan B40 dan miskin tegar .

Berucap pada sesi libat urus berkaitan hala tuju 12 sekolah di tiga gugusan Felda dalam daerah Bentong berkata, model khas tersebut telah ada namun perlu ditambah baik dalam memastikan ia dapat membantu melonjakkan pelajar daripada golongan sasar dalam bidang akademik dengan mengambil kira potensi dan bakat pelajar terlibat.

Beliau menjelaskan, model khas itu juga adalah tambahan kepada sekolah model khas sedia ada iaitu Sekolah Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Komprehensif 11 (K11).

“Kita ada model khas K9 dan K11 dan kita sedang lihat satu lagi model khas yang telahpun ada tetapi kita kena tingkatkan, khususnya untuk segmen pelajar B40 dan mereka yang miskin tegar supaya kita dapat memberi tumpuan dan membantu melonjakkan anak-anak kita dalam bidang akademik dari segi potensi dan bakatnya,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos lalu menyatakan hasrat pentadbirannya memperkenal sekolah khas untuk anak golongan paling miskin di negara ini supaya mereka tidak tertinggal dalam arus pendidikan.

Sementara itu jelas Fadhlina, KPM akan berusaha memastikan tiada anak-anak yang dipinggirkan daripada sistem pendidikan negara dan segala perancangan dipastikan benar-benar memberikan manfaat kepada mereka.

Menyentuh mengenai sesi libat urus itu, beliau turut memaklumkan, saranan dan pandangan yang disampaikan akan diangkat bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran di sekolah dalam tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Antara perkara yang telah dibangkitkan oleh wakil pelajar, ibu bapa dan guru pada sesi hari ini termasuk isu kekurangan bilik darjah, penyediaan kemudahan dan peralatan pembelajaran serta jaringan Internet di sekolah.

“Kita akan cuba kumpulkan semua pandangan dan kita akan dapat ketahui kemahuan anak-anakā€¦akan diambil tindakan selepas dikumpulkan semua saranan dan pandangan oleh pihak Bahagian Dasar KPM,” katanya.

Untuk rekod, terdapat sejumlah 371 sekolah di kawasan Felda di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 269 adalah sekolah rendah manakala 102 adalah sekolah menengah, termasuk sebuah sekolah model khas iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok di Terengganu.

Related Articles

Back to top button