Semasa

Mesyuarat NACCOL bincang langkah kurang beban kos sara hidup rakyat

Perdana Menteri menyatakan komitmen pentadbirannya untuk kekal meneruskan program intervensi melalui inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2023 pada Selasa berkata, inisiatif itu diteruskan meskipun kadar inflasi dalam negara telah mereda kepada 2.0 peratus iaitu kadar terendah dalam tempoh hampir dua tahun supaya dapat menangani isu kos sara hidup rakyat.

“Mesyuarat telah berbincang berkenaan dengan kawalan harga bagi ayam bulat standard dan telur ayam yang dilaksanakan sejak Februari 2022.

“Adalah penting supaya hala tuju kawalan harga ayam dan telur ini dapat dimuktamadkan bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan,” kata beliau.

Menyentuh mengenai usaha mengurangi kesulitan rakyat dalam mendapatkan bekalan beras, Anwar menjelaskan agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) diarahkan supaya lebih proaktif untuk bertindak sebagai agensi pengedar beras putih tempatan (BPT) terutama bagi kawasan pedalaman.

“Kerajaan juga peka terhadap kemungkinan gangguan bekalan gula sekiranya tiada tindakan segera dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan peningkatan harga gula mentah dunia.

“Sehubungan itu, kesemua perkara ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan hala tuju serta dimuktamadkan,” kata Anwar.

Mesyuarat berkenaan dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri-menteri berkaitan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, pemain industri, NGO, wakil pertubuhan dan ahli akademik yang merupakan ahli-ahli Majlis NACCOL.

Dalam pada itu, Anwar mengulangi penekanan agenda utama Kerajaan Perpaduan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat diberikan perhatian serius agar mereka menerima manfaat secara terus bagi setiap inisiatif dan strategi yang dilaksanakan.

Dalam kenyataan itu beliau turut menyeru semua agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri serta badan bukan kerajaan (NGO) yang perlu bekerjasama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat Malaysia MADANI terus diperkukuh.

Related Articles

Back to top button