Semasa

Polis telah hantar permohonan notis merah menantu Muhyiddin kepada interpol

Pihak berkuasa polis telah menghantar permohonan notis merah terhadap menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN),Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Polis Antarabangsa (Interpol).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain menurut laporan media berkata, tindakan itu dilakukan semalam sebaik sahaja pihak polis menerima beberapa dokumen dan maklumat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita (polis) telah terima daripada SPRM. Jadi, kita telah panjangkan kepada Interpol,” katanya dipetik.

Terdahulu, Muhammad Adlan Berhan,48 yang juga menantu Muhyiddin dan seorang lagi individu dikenali Mansoor Saat, 69 dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Kedua-dua mereka dipercayai melarikan diri dari negara ini pada Mei lalu.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis sedang menunggu beberapa maklumat dari SPRM sebelum menghantar permohonan secara rasmi kepada Interpol sekali lagi.

Sehari selepas itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, draf pertuduhan antara dokumen yang diperlukan Interpol sebelum notis merah dikeluarkan kepada dua individu termasuk Muhammad Adlan.

Seemntara itu menurut Mohd Shuhaily, sebaik sahaja nama kedua-dua individu berkenaan sudah berada dalam senarai merah, pihak negara dimana individu itu berada perlu memaklumkan semula kepada negara pemohon.

“Bila sudah ada notis merah ini, sekiranya pihak negara dimana suspek itu berada tahu akan keberadaan mereka maka menjadi tanggungjawab mereka memaklumkan negara pemohon untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Related Articles

Back to top button