Negeri

Selangor siap sedia keperluan asas banjir – Amirudin

Kerajaan Selangor mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyediakan tambahan bantuan keperluan asas banjir sekali ganda daripada jumlah yang disediakan pada kejadian bencana itu sebelum ini bagi persediaan mendepani Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia berikutan berlaku lebihan mangsa pada kejadian banjir pada 2021 yang mana ketika itu bantuan keperluan asas yang disediakan adalah untuk 5,000 mangsa.

“Ini berdasarkan pengalaman lepas yang mana kita bersiap siaga untuk 5,000 mangsa dan saya arahkan supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sediakan sekali ganda (daripada jumlah itu).

“Kita bimbang banjir berlaku seperti 2021, ada lebihan mangsa disebabkan kawasan besar (banjir).

“Sekarang bekalan bantuan ini diurus JKM dengan kerjasama kerajaan negeri,” katanya pada sidang media khas di Foyer SUK, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Smart Selangor Operation Centre akan mengkoordinasi dan memantau pemakluman kepada rakyat menerusi kerjasama dengan Jabatan Meteorologi selain Pusat Pemindahan Sementara bagi kawasan berisiko bencana akan ditambah fasiliti seperti keperluan asas dan bekalan kit makanan.

Katanya, keperluan lain terutama aset seperti bot juga dalam keadaan baik dan boleh digunakan bila-bila masa selain pasukan Sukarelawan Selangor (Serve) sentiasa bersiap siaga turun berkhidmat.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga turut menjalani latihan simulasi sebagai persediaan berdepan situasi sebenar sekali gus menjamin kelancaran operasi menyelamat.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Angkatan Pertahanan Awam juga diarah menyediakan aset dalam keadaan baik.

“Semua PBT, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, dan jabatan lain yang berkaitan juga sudah dipertanggungjawabkan untuk segera membersihkan kolam takungan, saliran, parit dan longkang terutamanya di kawasan berisiko tinggi banjir bagi membolehkan sistem saliran air berfungsi secara optimum sebelum memasuki awal November,” katanya.

Amirudin berkata, pusat media akan dibuka di Bangunan SUK (bangunan pentadbiran kerajaan Negeri) atau tempat ditetapkan bagi menyampaikan maklumat semasa sekiranya berlaku kejadian banjir,” katanya.

Beliau memberitahu, selain melibatkan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Exco kerajaan negeri juga telah ditugaskan mengikut skop yang telah ditetapkan.

Related Articles

Back to top button