Umum

Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan perlu diperkenalkan segera – Yeo Bee Yin

Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin menggesa kerajaan untuk memperkenalkan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THA) segera.

Yeo yang juga bekas Menteri Tenaga, Sains, Tekonologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata, undang-undang itu perlu diperkenalkan segera memandangkan isu jerebu rentas sempadan khususnya melibatkan negara-negara serantau mendatangkan implikasi buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.

“Insiden jerebu boleh menyebabkan negara kerugian lebih RM1 bilion mengambil kira kos ke atas sektor pelancongan dan perniagaan, kos memadam kebakaran dan operasi pembenihan awan, pembatalan jadual penerbangan dan acara sukan, kos kesihatan awam, dan kemusnahan biodiversiti.

“Saya sentiasa memperjuangkan bahawa Malaysia harus memperkenalkan Akta Pencemaran THA sejak 2019.

“Akta ini akan membolehkan kerajaan mengambil tindakan terhadap individu atau syarikat daripada Malaysia yang menyebabkan jerebu tanpa mengira di mana kebakaran itu berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, dalam kalangan rantau Asean, hanya Singapura telah meluluskan undang-undang seumpamanya pada 2014.

“Saya telah bertanya mengenai pendirian kedua-dua kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Kerajaan Perpaduan ketika ini di Parlimen berhubung pembentangan THA, kedua-dua kerajaan memberi jawapan negatif.

“Mungkin mereka yang tidak bersetuju terlepas pandang bahawa akta THA boleh digunakan sebagai satu inisiatif untuk mencegah berlakunya jerebu melalui klausa seperti mewajibkan syarikat Malaysia berisiko menyebabkan jerebu dari luar negara menyediakan data satelit untuk semua premis mereka seperti ladang.

“Menghendaki syarikat-syarikat mengisytiharkan pembelian tanah baharu di kawasan berisiko tinggi seperti ladang kelapa sawit di Indonesia dan mengisytiharkan cara tanah itu dibersihkan sebelum pembelian,” katanya.

Semalam, Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) mengesan 2,203 titik panas di sekitar Kalimantan berbanding hanya empat di Sarawak, dalam tempoh 20 hingga 28 September, membuktikan keadaan jerebu di negeri itu kini berpunca dari negara jiran.

Pada Isnin, kerajaan Indonesia melalui Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK) menafikan dakwaan jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah (karhutla) di Indonesia merentasi Malaysia.

Related Articles

Back to top button