Anwar

PM Anwar keluar arahan tangguh operasi pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan menangguhkan operasi pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru yang berkuat kuasa hari ini.

Mengikut laporan Malaysiakini, perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Politik Anwar, Azman Abidin.

“Saya sahkan PM (Anwar) telah mengarahkan operasi pengosongan Kampung Sungai Baru ditangguhkan yang sepatutnya diadakan hari ini.

“Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga memberi arahan bahawa penduduk diberi tempoh sehingga 31 Oktober tahun ini. Ini adalah lanjutan yang sebelum ini mereka diberi tempoh sehingga 19 Oktober untuk pindah keluar.

“Kami harap Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur meneruskan rundingan dalam tempoh yang diberi. Mereka juga dialu-alukan sekiranya mempunyai cadangan alternatif,” katanya.

Terdahulu, Azman berkata kerajaan mengambil keputusan untuk meneruskan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur selepas ditangguhkan enam tahun lalu.

Katanya, keputusan itu mengambil kira kepentingan penduduk di situ yang majoritinya telah berpindah keluar dan masih menunggu rumah baru.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.

Pada Julai tahun lalu, penduduk di Kampung Sungai Baru menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Namun, penduduk, khususnya penghuni rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 sekaki persegi ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGWPKL).

Sehingga kini, sebanyak 37 penduduk rumah teres tidak setuju dengan pampasan ditawarkan, manakala 27 penghuni bersetuju.

Related Articles

Back to top button