Negeri

PM hargai keputusan ADUN PH Sabah tarik semula saman berkaitan MA63

Perdana Menteri menyatakan penghargaan kepada sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah yang telah menarik saman pemula terhadap kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Penghargaan itu dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ucapan ketika merasmikan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Rabu

“Baru-baru ini ADUN-ADUN sebahagian daripada PH telah mencabar kerajaan dalam isu pelaksanaan MA63.

“Saya ucap terima kasih kerana mereka telah menarik saman terhadap kerajaan Persekutuan kerana sejak kita ambil alih kerajaan, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sedia maklum saya telah arahkan sedaya upaya kita untuk melaksanakan apa yang kita janjikan.

“Bapa-bapa pada tahun 1963 dalam perjanjian Malaysia telah menjanjikan untuk melaksanakan beberapa hal yang dimeterai hasil daripada muafakat antara pemimpin Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Jadi tugas itu tentulah dilaksanakan,” katanya sambil berjanji usaha untuk melaksanakan janji yang dimeterai dalam MA63 akan dilakukan oleh kerajaan pimpinannya dengan sedaya upaya.

Saman pemula itu difailkan pada 3 Jun tahun lepas terhadap kerajaan Persekutuan, dan kerajaan Sabah.

Mereka memohon perintah mahkamah supaya kerajaan Persekutuan mengiktiraf dan memberikan hak-hak Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, serta hak perlembagaan yang memperuntukkan hak istimewa bagi Sabah untuk menerima geran khas berjumlah dua perlima (formula 40 peratus) daripada hasil bersih Persekutuan yang diperolehi daripada Sabah.

Penarikan semula saman itu dibuat pada 20 September lalu antaranya kerana mereka melihat ada kemajuan berhubung isu MA63, khususnya menerusi penubuhan jawatankuasa teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dipengerusikan oleh Anwar sendiri, yang menyaksikan dua daripada tiga deklarasi yang dituntut mereka telahpun dipersetujui, dan akan dilaksana.

Related Articles

Back to top button