PM mahu kerja baik pulih tandas sekolah selesai bulan ini
Semua kerja-kerja baik pulih tandas di sekolah bantuan kerajaan akan selesai hujung bulan ini, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Melalui satu hantaran di laman Facebook, beliau melahirkan rasa kecewa apabila masih ada tandas sekolah dilapor rosak dan dibiar tanpa diselesaikan.
“Oleh itu, saya arah tandas sekolah yang rosak dibaiki untuk keselesaan anak-anak dan insya-Allah, semua baik pulih selesai bulan ini.
“Di sekolah, ada sahaja tandas yang rosak. Kalau ada lapan tandas, empat rosak. Ada empat tandas, tiga rosak. Hampir tidak ada sekolah yang tidak rosak tandasnya,” katanya.
Tambah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi, negara yang hebat dan maju serta mempunyai pelbagai polisi tidak seharusnya mempunyai masalah sekecil tandas sekolah yang tidak dibaiki.
“Kita kira bangunan mercu tanda tinggi, jambatan paling panjang, yang hebat-hebat belaka tetapi tandas tempat anak-anak kita belajar pun tidak terurus. Mungkin tahun depan saya hendak tengok semua tandas masjid pula (dibaiki),” katanya.
Isnin lalu, Anwar memberi bayangan akan menambah baik tandas di kuaters guru dan agensi kerajaan lain selepas penambahbaikan tandas-tandas sekolah siap dilaksanakan.
Pada satu program di Bentong, beliau menjelaskan penambahbaikan tandas berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat dan akan dimasukkan dalam Belanjawan negara.
Susulan hasrat Anwar yang mahu tandas sekolah dapat digunakan dengan selesa oleh pelajar, Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini mengagihkan peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah di seluruh negara.
Dalam masa sama, kementerian memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan kerja-kerja penyelenggaraa tersebut.