ekonomi

PM saran agensi, tokoh agama beri input dalam RMK, Belanjawan

Perdana Menteri menyarankan supaya agensi berkaitan hal ehwal Islam serta tokoh Islam perlu memberi input dalam dasar negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan belanjawan tahunan negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, input itu penting agar beliau dapat membentangkan rancangan yang mengandungi suntikan dan pandangan daripada pakar-pakar Islam agar semangat MADANI dapat diterapkan bagi memastikan pembangunan seimbang dan mampan.

Tambah beliau, agensi hal ehwal Islam dan tokoh agama boleh memainkan peranan dalam menegur dasar negara dan tidak hanya fokus kepada bidang agama Islam semata-mata,

“Saya telah sampaikan kepada pegawai Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) untuk memberikan kerjasama kerana berbeza pendekatan lalu, kita tidak gunakan badan-badan Islam ini hanya untuk program agama secara terpisah.

“Ketika saya mengupas kajian separuh penggal RMK-12, draf itu saya kirim kepada Ketua Pengarah Jakim dan mohon supaya ulas, bukan ulasan tentang program agama (tetapi) ulasan tentang RMK-12,” katanya.

Anwar berkata begitu dalam ucapan perasmian Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

IJPAM 2023 yang berlangsung bermula 30 September hingga hari ini menyaksikan penyertaan 1,837 peserta daripada pelbagai agensi hal ehwal Islam peringkat Persekutuan dan negeri dari seluruh negara.

Related Articles

Back to top button