Negeri

‘Tawaran Kita Selangor’: tiga dari lima janji ditunaikan dalam tempoh 100 hari

Kerajaan Negeri Selangor telah merealisasikan tiga daripada lima ‘Tawaran Kita Selangor’ yang dijanjikan pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos lalu

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tiga daripada komitmen itu ialah pengecualian cukai taksiran rumah kos rendah, insentif pertanian Kita Selangor dan insentif khas pegawai masjid yang diselesaikan dalam tempoh 100 hari selepas Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) menerima kembali mandat dari rakyat di negeri itu.

Mengenai pengecualian cukai untuk rumah kos rendah, Amirudin berkata kerajaan negeri akan mengecualikan cukai taksiran bagi 426,656 rumah kos rendah dan rumah kampung di negeri ini untuk tempoh penggal kedua iaitu dari 1 Julai lalu sehingga 31 Disember depan.

Ia jelasnya akan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM29,415,672.50 kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bantuan secara bersasar ini diharapkan meningkatkan pendapatan boleh guna bagi golongan yang memerlukan serta mengurangkan kos sara hidup,” katanya dalam sidang media khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada Rabu.n

Sementara itu Amirudin memberitahu, Insentif Khas Pegawai Masjid juga akan dilaksanakan bermula 25 Oktober depan dalam menggerakkan syiar Islam di negeri ini.

Ujarnya, seramai 760 imam akan menerima bayaran bulanan yang ditingkatkan dari RM1,300 ke RM1,500 sebulan dan diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), manakala kenaikan elaun sebanyak RM50 akan diterima nazir, bilal dan siak dengan impak kewangan kepada kerajaan negeri bernilai hampir RM3 juta.

Selain itu, sebagai insentif supaya kadar pengeluaran pertanian di Selangor dapat ditingkatkan, Kerajaan Negeri akan memberikan RM1,000 kepada 500 pengusaha dalam bidang tanaman, ternakan, akuakultur, industri asas tani serta nelayan.

Pemberian itu akan dibuat dalam bentuk tunai sebanyak RM500, manakala baki RM500 akan diberikan menerusi input tanaman, peralatan dan bahan mentah dan akan mula diserahkan pada 31 Oktober ini melalui kerjasama pihak Agro Bank Selangor serta Koperasi Kohijrah Warga Hijrah Selangor Berhad.

“Selain itu, baki dua lagi komitmen utama iaitu baucer buku dan program bantuan untuk wanita bekerja akan dilaksanakan pada hujung Oktober atau November depan,” katanya.

Related Articles

Back to top button