Fitnah Fahmi: Ahmad Dasuki diperintah fail pembelaan
Seorang penceramah bebas diarah memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab saman fitnah dikemukakan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil terhadapnya.
Ahmad Dusuki Abd Rani diarahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis untuk memfailkan pernyataan tersebut selewat-lewatnya 20 Okt ini.
Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi dipetik laporan media berkata, mahkamah turut menetapkan 27 Nov untuk pengurusan kes selanjutnya.
“Writ dan tuntutan saman telah diserahkan kepada defendan (Dusuki) dan memorandum kehadiran telah difailkan oleh defendan menerusi peguamnya dari Tetuan Srihana Mohamad & Partners,” kata Asheeq Ali selepas pengurusan kes secara e-Review di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar semalam.
Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN selaku plaintif memfailkan saman terhadap Dusuki pada 5 Sept lalu, atas dakwaan memfitnah kononnya beliau memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.
Tegasnya, kenyataan fitnah itu dibuat bertujuan memburukkan nama baiknya digunakan demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara selain menjejaskan reputasinya sebagai Ahli Parlimen dan menteri Kabinet.
Pihak Majlis Agama Islam Selangor baru-baru ini telah menegaskan, hasil siasatan mendapati Fahmi sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.
Beliau sebaliknya menjelaskan tindakan tindakan mengharamkan kumpulan muzik The 1975 seteleh diminta oleh ahli jawatankuasa masjid ketika singgah solat di Masjid berkenaan.
Selain Ahmad Dasuki, Fahmi turut memfailkan satu lagi kes saman serupa terhadap pemilik akaun Facebook “N13 Kuang”, Mohd Fauzan Madzlan membabitkan isu sama.
Bagi kes itu, Asheeq berkata mahkamah menetapkan 31 Okt untuk pengurusan kes selanjutnya.
“Kami masih dalam proses untuk menyerahkan writ dan tuntutan saman terhadap defendan (Fauzan),” kata peguam itu.