Johor bakal naik taraf sistem pengangkutan awam, pacu industri pelancongan
Kerajaan Negeri Johor menyasarkan beberapa usaha termasuk menaik taraf kemudahan pelancongan dan pengangkutan awam.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu akan disentuh dalam Belanjawan Johor 2024 yang akan dibentangkan bulan depan.
Mengambil contoh pelancongan, beliau berkata kerajaan negeri merancang untuk menaik taraf kemudahan yang ada dalam tempoh dua tahun akan datang bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Bagaimanapun jelasnya, perincian bagi kerja naik taraf itu akan diumumkan dalam pembentangan belanjawan tersebut.
“Misalnya, Tanjung Piai terletak di titik penghujung benua Asia… kita juga ada enam Taman Negara. Banyak perlu kita buat untuk menaik taraf produk pelancongan di Johor.
“Dalam pembentangan belanjawan itu juga, saya akan menyentuh mengenai pengangkutan awam, Johor Bersih dan Johor Selamat,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini hari ini.
Berhubung LTAS, Onn Hafiz berkata peningkatan kapasiti penumpang sehingga lima juta setahun, tahun ini, mampu dicapai dalam masa yang singkat.
“Ia dapat dicapai dalam masa singkat kerana pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa Johor khususnya di Iskandar Puteri akan ada Zon Kewangan Khas. Pada masa sama, Johor akan ada Zon Ekonomi Khas dengan Singapura.
“Justeru, dua perkara ini, saya yakin akan menjadi pemangkin untuk pembesaran ekonomi di Johor. Bila ia berlaku maka lebih ramai pelabur akan masuk melalui Tambak Johor, Linkedua (Laluan Kedua Malaysia-Singapura) dan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang akan siap pada 2026 dan juga melalui LTAS,” katanya dipetik.