ekonomi

Kerajaan komited pastikan pelaburan asing dan domestik seimbang – PM

Kerajaan komited untuk mencapai keseimbangan baik antara pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI)

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu penting bagi memastikan pembangunan yang mampan dan seimbang di seluruh negara.

“Kerajaan telah menetapkan DDI sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk mengembangkan jumlah pelaburan negara memandangkan potensi strategik DDI dalam menarik lebih banyak FDI di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI,” katanya dalam ucap tama beliau pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-55 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) di Petaling Jaya malam tadi.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar yang juga Menteri Kewangan sementara itu berkata kerajaan pimpinannya mendengar seruan oleh industri untuk terus mempromosikan DDI dan amat menyedari keperluan untuk terus memacu pertumbuhannya.

DDI strategik tambahnya berpotensi untuk menarik lebih banyak FDI kerana pelabur asing biasanya menganggap ia sebagai penanda aras bagi keyakinan dan komitmen pelabur domestik terhadap dasar kerajaan untuk mengukuhkan landskap pelaburan dan perniagaan negara.

“Memiliki ekosistem industri domestik yang lebih strategik adalah penting untuk menjana pertumbuhan keluaran dalam negara kasar yang lebih mampan dan dengan itu usaha yang lebih komprehensif akan dilaksanakan untuk meningkatkan DDI,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa komuniti pembuatan Malaysia memainkan peranan penting dalam menyokong rangka kerja Ekonomi MADANI dan mencapai sasaran yang ditetapkan untuk 10 tahun akan datang.

Antara lainnya adalah menjadi peneraju ekonomi Asia, menduduki tangga 30 teratas ekonomi terbesar dunia, berada di kedudukan 12 teratas dalam daya saing global, meningkatkan bahagian pendapatan tenaga kerja untuk mencapai 45 peratus dan meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita kepada 60 peratus.

Dalam pada itu beliau turut juga menyeru industri untuk mengukuhkan kerjasama mereka dalam ekosistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dengan melibatkan diri dalam lebih banyak inisiatif yang dipacu industri seperti inisiatif Akademi dalam Industri ke arah membina kumpulan tenaga kerja mahir tempatan.

Related Articles

Back to top button