Nasional

KPKM ambil sampel beras untuk analisis, lakukan operasi bersepadu

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin semalam, mengetuai Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (BPT) di premis pemborong beras di sekitar Selangor.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, operasi itu membabitkan 42 anggota penguat kuasa dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membabitkan pengambilan sampel beras dan pengiraan stok fizikal beras dalam simpanan gudang.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa semua premis pemborong beras mempunyai bekalan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI), lesen masih sah tempoh dan simpanan beras tidak melebihi had muatan yang dilesenkan.

“Kesemua sampel yang diambil adalah mengikut prosedur penguatkuasaan yang ditetapkan dan akan diserahkan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk tujuan analisis bagi mengesan pertukaran kampit beras atau aktiviti mencampurkan BPT dan BPI,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi itu membabitkan kerjasama penguat kuasa rentas agensi antaranya Penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB), KPKM, Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), PDRM serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“KPKM akan meneruskan kerjasama penguatkuasaan rentas kementerian dan agensi melalui Operasi Bersepadu BPT dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampur BPT dan BPI atau menyembunyikan bekalan BPT,” katanya.

Related Articles

Back to top button