Semasa

KPKN ambil perhatian dakwaan wujud kartel beras, arah MyCC siasat

Aduan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengenai dakwaan wujudnya kartel beras diambil perhatian oleh kerajaan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Ali telah mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan bahagian penguatkuasaan kementerian menghubungi Dr Akmal bagi mendapatkan maklumat mengenai itu bagi mendapatkan bukti untuk siasatan lanjut dijalankan.

“Peranan dan tanggungjawab KPDN hadir dalam penguatkuasaan bagi elemen-elemen tertentu yang terkait dengan Akta Perlindungan Pengguna dan Akta Perihal Dagangan.

“Namun, sekiranya ada dakwaan yang disebut berkaitan kartel beras, KPDN boleh melaksanakan siasatan melalui MyCC yang mempunyai kuasa menyiasat kartel di bawah Akta Persaingan 2010,” katanya ditemui pemberita selepas satu program di Sabah seperti dilapor Bernama.

Pada Isnin, Akmal dilaporkan mendakwa adanya kartel beras menggunakan modus operandi menjual beras tempatan sebagai beras hancur, kerana beras hancur boleh dijual dengan harga bukan kawalan.

Beliau kemudian menuntut hukuman lebih berat termasuk sebatan atau penjara dikenakan ke atas mana-mana pihak atau kartel yang memanipulasi bekalan beras dalam negara.

Jelas Akmal, setakat ini hukuman paling tinggi dikenakan adalah kompaun dan ia masih mampu dibayar mereka walaupun denda dikenakan mencecah RM100,000 jika melakukan kesalahan tersebut.

Related Articles

Back to top button