Global

PM Anwar adakan pertemuan dengan Presiden UEA, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diterima menghadap Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di istana presiden.

Anwar yang kini dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) tiba di Qasr Al Shati pada 11 pagi, turut mengadakan pertemuan empat mata dengan Pemerintah Abu Dhabi itu.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala serta meneroka peluang untuk menjalin kerjasama selanjutnya yang boleh mempercepat agenda pembangunan lestari Malaysia dan UAE.

Mereka turut mengkaji kerjasama sedia ada serta membincangkan cara untuk membina hubungan ini terutama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh diperbaharui serta keterjaminan makanan yang memenuhi visi kedua-dua negara ke arah masa depan yang mampan dan makmur.

Pada pertemuan itu juga, kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan mempromosi kerjasama ke arah mewujudkan perkongsian ekonomi yang komprehensif di antara Malaysia dan UAE dalam masa terdekat selain perkembangan terkini di peringkat serantau dan antarabangsa serta bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai topik yang mempunyai kepentingan bersama.

Anwar yang tiba kira-kira jam 9 pagi waktu Malaysia semalam turut mengadakan mesyuarat dengan Menteri Pelaburan UAE Mohamed Hassan Al Suwaidi.

Perdana Menteri juga mengadakan sesi tidak rasmi dengan Pengerusi merangkap Pengarah Urusan Lulu Group International M. A. Yusuff Ali, Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mubadala Khaldoon Al Mubarak.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Duta Besar Malaysia ke UAE Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

Perdana Menteri turut menghadiri persidangan meja bulat bersama kapten-kapten industri di UAE.

Hari ini Perdana Menteri akan melawat Bandaraya Masdar yang terkenal sebagai bandar lestari terancang pertama di dunia sekali gus menggariskan komitmen Malaysia ke arah pembangunan yang lestari dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui.

Beliau turut akan melawat Universiti Kecerdasan Buatan Mohamed bin Zayed (MBZUAI) sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Besar Sheikh Zayed.

Lawatan itu diakhiri dengan ‘Sesi Bersama Rakyat Malaysia’ dan beliau akan bertemu rakyat Malaysia yang menetap di UAE.

Related Articles

Back to top button