Parlimen

RUU Kawalan Produk Rokok dibentang ke Parlimen minggu depan untuk bacaan kedua

Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok untuk bacaan kedua di Parlimen pada 10 Oktober depan.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan media pada Khamis.

“Pembentangan bacaan kedua RUU di Parlimen adalah suatu bentuk komitmen berterusan pihak KKM dan Kerajaan Madani dalam memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia dilindungi daripada bahaya produk merokok.

“RUU ini telah dibentangkan untuk bacaan pertama pada 12 Jun 2023 dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan
Khas (JKPK) Kesihatan.

“Penelitian telah dibuat oleh ahli-ahli JKPK bagi memantapkan RUU ini supaya RUU ini dapat dibincangkan, diteliti dan disokong oleh kesemua pihak (bipartisan),” kata Zaliha menerusi kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata pihak JKPK juga telah mengadakan beberapa sisi mesyuarat dan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan termasuk KKM.

“Setelah kesemua mesyuarat dan sesi libat urus ini, terdapat beberapa syor yang telah dikemukakan oleh JKPK dan KKM menerima baik semua syor-syor yang dicadangkan tersebut.

“Oleh itu, KKM ingin menyeru seluruh lapisan masyarakat termasuk ahli-ahli Parlimen, individu, ibu bapa, guru dan tokoh-tokoh masyarakat bersama-sama memainkan peranan dan menyokong usaha KKM dalam membentangkan RUU ini dengan menyuarakan sokongan,”tambahnya lagi.

Related Articles

Back to top button