Selangor setuju nyah rahsia laporan penuh kejadian tanah runtuh Father’s Organic Farm
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu bersetuju untuk nyah rahsia laporan penuh kejadian insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dokumen mengenai punca kejadian itu akan diserahkan semula kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), untuk tindakan selanjutnya.
“Kita akan kembalikan laporan itu kepada Nadma untuk mereka memaparkannya di laman web atau diagihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pemberit pada satu majlis di Setia Alam pada Khamis.
Dalam kejadian pada 16 Disember lalu itu, seramai 31 orang kehilangan nyawa termasuk 13 kanak-kanak, dan 61 diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh yang menimpa tapak perkhemahan berdekatan Batang Kali itu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilapor berkata tiga tapak perkhemahan yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh itu dikenal pasti beroperasi secara haram, dan hanya memiliki kebenaran merancang untuk aktiviti pertanian organik.
Laporan awal tragedi dibentangkan di Jemaah Menteri pada 4 Jan lalu.
Amirudin ketika menyentuh mengenai laporan itu berkata, ia sangat teknikal tetapi ia akan menjelaskan peristiwa itu secara keseluruhan.
Beliau turut berkata nama pemilik tapak perkemahan juga terdapat pada laporan lengkap tersebut, dengan beberapa kawasan terjejas ialah milik perhutanan dan rizab jalan.