Semasa

Kecurian REE di Kedah: SPRM temukan petunjuk baharu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan petunjuk baharu berhubung kes kecurian unsur nadir bumi di di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata sepanjang tempoh siasatan dilakukan, pihaknya juga telah menggunakan khidmat pakar untuk mengenal pasti tempoh masa serta kuantiti unsur nadir bumi yang disyaki telah dicuri berdasarkan ujian-ujian makmal.

“Siasatan kes berkenaan masih berjalan melibatkan siasatan berkait isu-isu rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah terhadap individu dan agensi- agensi penguatkuasaan yang terlibat,” katanya dipetik laporan media pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu berkenaan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah dipanggil memberikan keterangan berhubung kes berkenaan kepada SPRM pada September lalu.

Selain Muhammad Sanusi, SPRM turut memanggil 10 Exco kerajaan negeri Kedah untuk memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Julai lalu mendakwa MBI Kedah dipengerusikan Muhammad Sanusi mengetahui berlakunya kegiatan mencuri unsur nadir bumi (REE) secara besar-besaran di kawasan kompartmen miliknya di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Ia jelasnya berdasarkan kewujudan dua warga China yang diambil bekerja sebagai pakar profesional oleh MBI bagi mengkaji tapak REE di kawasan berkenaan.

Related Articles

Back to top button