Semasa

Kerajaan akan kenal pasti kawasan untuk bangun sektor tenaga boleh diperbaharui

Kerajaan akan segera mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai bagi melaksana pembangunan untuk sektor tenaga boleh diperbaharui

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu susulan Malaysia kini menjadi pilihan kepada pelabur-pelabur luar yang mahu datang ke Malaysia untuk melabur dalam bidang tersebut.

“Beberapa kawasan akan dipilih, kita akan mengenal pasti di antara 10 hingga 12 tempat. Mereka (pelabur) akan pilih. Sebahagiannya di Pahang,” katanya di akhir lawatan kerja dua hari beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi malam tadi.

Terdahulu, lawatan rasmi dua hari perdana menteri itu berjaya menjana pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion untuk Malaysia,

Pelaburan yang diraih termasuk komitmen daripada Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (MASDAR) untuk melabur sehingga RM37.8 bilion bagi membangunkan projek tenaga boleh baharu dengan kapasiti 10GW di Malaysia.

Sementara itu jelas Anwar, Malaysia berada di hadapan dalam menerima pelaburan bagi sektor tenaga boleh diperbaharui dan akan semakin ke depan jika komitmen pelaburan projek tenaga boleh diperbaharui dengan kapasiti sehingga 10 gigawatt itu menjadi kenyataan.

Selain mengenal pasti lokasi sesuai untuk pelaburan sektor tenaga itu, kerajaan juga jelasnya bercadang supaya pusat data yang ketika ini berada di Johor dan Selangor dikembangkan ke negeri-negeri berdekatan.

“Sewaktu pertemuan dengan pelabur-pelabur, mereka semua meminta kita mempercepatkan dan memudahkan proses untuk melakukan perniagaan. Ini yang kita kena usahakan, sebab ada negara lain yang boleh menawarkan dengan lebih baik daripada kita.

“Jika kita memudahkan mereka, pelaburan masuk akan lebih tinggi dan pendapatan negara meningkat,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Related Articles

Back to top button