Semasa

Kerja baik pulih Jalan Teluk Bahang siap 18 peratus lebih awal dari jadual

Kerja-kerja pembaikan cerun di Jalan Teluk Bahang yang sebelum ini ditutup akibat hakisan telah mencapai status memuaskan dan dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada jangkaan awal.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dalam satu kenyataan, status kemajuan kerja-kerja di Seksyen 46.8, adalah pada kadar 58 peratus siap dan 18 peratus lebih awal daripada status yang dijadualkan.

“Kerja-kerja yang sedang dijalankan ditapak ini (Seksyen 46.8) melibatkan kerja-kerja soil nail head dan kerja-kerja konkrit guardrail.

“Untuk Seksyen 45.4, kerja-kerja yang sedang dijalankan di tapak pula meliputi kerja-kerja sand backfill dan kerja-kerja perparitan, status kemajuan kerja kalau mengikut jadual sepatutnya adalah 38 peratus, status sebenar sekarang 55 peratus yang mana ia lebih awal 17 peratus daripada jadual asal,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga dalam pada itu memaklumkan, buat masa ini, Jalan Balik Pulau Teluk Bahang itu masih ditutup demi keselamatan pengguna jalan raya.

Hakisan di jalan persekutuan FT006 Seksyen 46.80 di Balik Pulau itu dikesan pada 1 Julai lalu.

Susulan itu pihak JKR mengambil langkah-langkah segera iaitu meliputi kerja pemasangan kanvas, pemasangan peralatan pengurusan trafik dan pengumpulan data.

Zairil berkata, permohonan segera telah dibuat kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia dan kelulusan telah diterima untuk kerja-kerja pembaikan di laluan terjejas dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.7 juta.

Related Articles

Back to top button