Semasa

KKM sedia klinik alternatif, siap siaga hadapi kemungkinan banjir

Sebanyak 453 klinik alternatif telah disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai usaha berdepan kemungkinan berlaku kejadian banjir semasa fenomena Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri KKM, Dr Zaliha Mustafa berkata, klinik alternatif itu diagihkan kepada 552 premis kesihatan KKM yang berisiko dilanda banjir di seluruh negara untuk sedia beroperasi dan memberi perkhidmatan di premis kesihatan terjejas banjir.

Selain itu, KKM juga jelasnya telah melakukan persiapan rapi, terutamanya berkaitan kekuatan dan kesediaan petugas kesihatan, kelengkapan peralatan dan perubatan, serta aset-aset kenderaan.

“Kita sentiasa bersedia, KKM memantau rapi situasi MTL selain bekerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) selaku agensi pusat.

“Di peringkat negeri pula kita sentiasa berhubung dan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah,” katanya ketika ditemui pemberita di Bentong pada Jumaat.

MTL dijangka berlaku pada November ini hingga Mac tahun depan yang menyebabkan negara lebih terdedah kepada risiko banjir dan tanah runtuh.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Zaliha berkata pihak kementeriannya turut memantau rapi 28 projek sakit melibatkan pembinaan pelbagai projek kementerian itu di seluruh negara.

Pemantauan yang turut melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu, bertujuan memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual asal, selain mengambil tindakan menghentikan tender kepada kontraktor yang bermasalah dan melantik kontraktor penyelamat bagi memastikan projek terbabit dapat disiapkan secepat mungkin.

Related Articles

Back to top button