ekonomi

Lawatan kerja PM Anwar ke UAE berjaya raih pelaburan bernilai RM40.6 bilion

Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama dua hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya menjana pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion untuk Malaysia,

Pelaburan yang diraih termasuk komitmen daripada Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (MASDAR) untuk melabur sehingga RM37.8 bilion bagi membangunkan projek tenaga boleh baharu dengan kapasiti 10GW di Malaysia.

Selain itu menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pelaburan turut diterima dalam sektor aeroangkasa dan logistik.

“Kami amat berbesar hati kerana walaupun tempoh lawatan kerja yang singkat, kami berjaya meraih pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion. Hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-UAE adalah kukuh dan meliputi pelbagai sektor.

“Sejajar dengan misi Push for Net Zero Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), penyelesaian tenaga boleh baharu dan rendah karbon menjadi aspek penting dalam pelaburan sasaran baharu Malaysia,” kata Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan.

Perdana Menteri memulakan kunjungan kerja dua hari ke UAE mulai Khamis, beliau turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Masdar dimeterai hari ini.

MoU itu difahamkan untuk mengukuhkan kerjasama sedia ada bagi meningkatkan kerjasama ekonomi mampan Malaysia-UAE untuk meningkatkan aliran pelaburan yang mampan antara kedua-dua negara.

Related Articles

Back to top button