Nasional

MOT mahu jadikan Pelabuhan Klang sebagai hab penghantaran barangan utama di ASEAN

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam usaha untuk mempergiatkan lagi peranan Pelabuhan Klang sebagai hab penghantaran barangan utama di rantau ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, pertemuan bersama empat syarikat perkapalan terkemuka dunia iaitu MSC, Maersk, CMA-CGM, dan Hapag Lloyd menerusi lawatan kerja selama satu minggu di Eropah baru-baru ini merupakan antara usaha kerajaan untuk mengukuhkan peranan pelabuhan utama negara.

“Tujuan pertemuan ini untuk menarik minat mereka supaya bukan sahaja meningkatkan pelaburan tetapi juga kehadiran mereka di Malaysia.

“Pertemuan ini membuahkan hasil yang menarik dan saya yakin, dalam tempoh beberapa tahun akan datang, mereka akan mempunyai kehadiran yang lebih besar di Malaysia, khususnya di Pelabuhan Klang, begitu juga di Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

“Kita mempunyai rancangan untuk mempergiatkan lagi peranan Pelabuhan Klang sebagai hab penghantaran barangan utama di ASEAN.

“Ini sudah tentu memerlukan kerjasama daripada semua pihak supaya kita dapat meningkatkan lagi daya saing Pelabuhan Klang,” katanya dalam ucapan pada Majlis Gala Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) di Klang, semalam.

Related Articles

Back to top button