Peserta INTAN fasa 1 mampu jana pulangan sekitar RM2,300 sebulan – Rafizi
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjangkakan peserta program Usahawan Tani (INTAN) Fasa 1 yang memulakan tanaman cili fertigasi mampu menjana pulangan sekitar RM2,300 sebulan.
Melalui ciapan di platform X, Rafizi menjelaskan peserta program dibawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) itu dijangka akan memperoleh hasil sebanyak 100 tan metrik dalam tempoh sebulan
“Sebanyak 40,000 polibeg cili digunakan dan hasil daripada tanaman ini, peserta boleh memperoleh hasil pulangan sekitar RM2,300 sebulan.
“Ini adalah perkembangan semasa satu daripada projek INTAN-IPR di Putrajaya yang membabitkan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat.
“Semoga peserta INTAN dapat menuai hasil yang lumayan dan dapat mengubah kehidupan dengan lebih baik,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, sejumlah 20 peserta terlibat dengan program itu dengan keluasan 4,0469 hektar tanah.
Rafizi pada 29 Ogos lalu mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi tahun ini untuk pelaksanaan projek INTAN-IPR secara permintaan untuk cadangan (RFP) oleh syarikat swasta terpilih.
Usaha itu bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan pembasmian kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat selain meningkatkan kemampanan bekalan makanan serta membantu usaha mengawal harga makanan di pasaran.
Projek pertanian yang boleh diusahakan adalah tanaman atau ternakan yang memberikan hasil dalam tempoh kurang dua tahun dan mempunyai potensi penggunaan teknologi ladang moden.