KKD akan panggil TikTok susulan pelbagai aduan – Fahmi Fadzil
Kerajaan akan memanggil pengendali aplikasi TikTok bagi memberi penjelasan berkaitan kandungan iklan di platform terbabit.
Menteri Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, ia setelah pihaknya menerima pelbagai aduan yang mendakwa menerima impak berkaitan platform tersebut termasuk kepada industri media tempatan sendiri.
“Ada aduan diterima daripada orang awam, syarikat perniagaan malahan pihak media sendiri yang terkesan berkaitan iklan dan kandungan di aplikasi terbabit,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pembersihan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, selain itu kerjasama pengendali aplikasi terbabit terhadap pihak kerajaan ketika ini dilihat kurang memuaskan.
“Isu melibatkan virus X yang mana mengatakan jururawat perlu ambil suntikan mencecah lebih 1.5 juta tontonan, bila dipanggil kita lihat tiada tindakan dilakukan,” tambah Fahmi.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini menafikan dakwaan bahawa jururawat di negara ini akan disuntik dengan vaksin Virus X, yang diramal menjadi satu ancaman pandemik baharu oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
KKM dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya hari ini memaklumkan, maklumat berkenaan tidak tepat dan disifatkan tidak bertanggungjawab selain menimbulkan persepsi negatif terhadap barisan hadapan petugas kesihatan khususnya jururawat yang telah menyumbang bakti mereka kepada negara.